AKSI separuh akhir antara Serdang Angels (jersi merah) menentang Maskom, hari ini. — FOTO Ragbi Super 8 IPT
Aida Adilah Mat


SERDANG Angels dan UiTM Lions membuktikan mereka kuasa besar sukan ragbi institusi pengajian tinggi apabila menempah tiket ke final Ragbi Super 8 IPT, hari ini.

Pada aksi separuh akhir, Serdang Angels tampil garang apabila mudah membelasah Majlis Sukan Kolej Komuniti (Maskom) 113-10.

Membariskan tiga pemain kebangsaan, Khairul Abdullah Ramli, Lawrence Petrus dan Hafizin Aiman Halim ternyata Serdang Angels bukan lawan Maskom.

Tiga try pemain sayap Fitri Abdullah menyaksikan dia muncul penjaring terbanyak Serdang Angels pada separuh akhir.

Berbekalkan status juara lima kali, Serdang Angels yang menempah tiket ke final buat kali keenam diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara.

“Saya tetap hormat UiTM Lions, esok pasti sengit, kami jumpa di final sirkit MASUM baru-baru ini, walaupun menang tapi pemain tak boleh ambil mudah,” kata jurulatih Serdang Angels, Khairizal Ali Ahmad.

Sementara itu, UiTM Lions turut membuktikan mereka bukan calang-calang pasukan apabila menang ke atas Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM) 31-7.

Ia perhitungan kali kelima membabitkan kedua-dua pasukan itu pada aksi final.


SERDANG Angels (jersi merah) bertemu buku dengan ruas menentang UiTM Lions, esok. — FOTO Ragbi Super 8 IPT

Lions yang turut dibantu dua pemain kebangsaan Faris Pead dan Danial Noor Hamid bagaimanapun mengakui Serdang Angels mempunyai kelebihan pada final esok.

“Kelebihan buat Serdang Angels kerana membawa masuk beberapa pemain kebangsaan dari UKM dan UTHM untuk Super 8, kami lebih kepada membuat percaturan membariskan pemain muda bagi tujuan pembangunan jangka panjang,” kata jurulatih UiTM Lions, Zamri Kahar.

Perlawanan akhir esok berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia, Serdang, jam 4 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 8:41 PM