X
 Jadon Sancho (kanan) cuba dihalang pemain Cologne pada aksi Bundesliga. FOTO AFP
Jadon Sancho (kanan) cuba dihalang pemain Cologne pada aksi Bundesliga. FOTO AFP
AFP

JADON Sancho mencetus inspirasi kepada kebangkitan lewat dipamerkan Borussia Dortmund ketika menewaskan pasukan yang baru dinaikkan ke liga utama, Cologne, 3-1 dalam perlawanan kedua Bundesliga musim ini, awal pagi ini.

Pemain antarabangsa England, Sancho, 19, menghidupkan permainan Dortmund pada separuh masa kedua untuk menidakkan jaringan pembukaan tuan rumah dengan memastikan jaringan penyamaan yang sangat diperlukan diikuti membantu menghasilkan jaringan untuk memastikan kebangkitan Dortmund.

“Kami kekal bersabar, kami mahu beraksi dengan lebih banyak tempo permainan dalam separuh masa kedua,” kata kapten Dortmund Marco Reus kepada stesen penyiaran DAZN.

Cologne, meraikan perlawanan pertama di gelanggang sendiri sejak kembali ke liga utama, beraksi penuh bertenaga pada awal permainan dan usaha mereka berhasil apabila Dominick Drexler menanduk masuk gol pembukaan dari sudut sukar di depan gawang gol pada minit ke-29.

Dortmund, dalam misi pemburuan kejuaraan liga bermula cemerlang dengan kemenangan 5-1 di gelanggang sendiri ke atas Augsburg, minggu lalu.

Kecewa dengan persembahan baik pemain pertahanan yang baru ditandatangani Cologne - Kingsley Ehizibue dan Sebastiaan Bornauw pada separuh masa pertama, semuanya serba tidak menjadi buat pasukan pelawat sehingga Sancho berjaya memperolehi jaringan pada minit ke-70.

Jaringan itu merupakan yang ke-15 Sancho dalam aksi Bundesliga sejak menyertai Dortmund pada 2017, menjadikan dia pemain termuda mencipta rekod itu di saingan liga Jerman.

Pemain Inggeris itu kemudian turut terbabit memulakan gerakan yang menyaksikan Achraf Hakimi memastikan Dortmund di depan dengan baki perlawanan hanya tinggal empat minit.

Ketika Cologne melakukan gerakan untuk menyamakan kedudukan ketika penghujung masa kecederaan, Sancho pantas mencuri tumpuan menerusi satu serangan balas dan menghantar bola kepada Paco Alcacer yang mudah menolak masuk gol ketiga Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 9:17 AM