FAIZAL dan Mohd Fitri Saari dilihat bersama Megat pada ulang tahun pertama YHN di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara.
Aida Adilah Mat


KELIBAT dua pemain terbaik hoki negara iaitu pasangan adik beradik, Faizal dan Mohd Fitri Saari yang dilihat bersama Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pada ulang tahun pertama Yayasan Hydrocephalus Negara (YHN) di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara semalam menimbulkan pelbagai persoalan.

Antaranya benarkah kedua-dua mereka akan bersama pasukan baru selepas Megat Shahriman dikatakan akan menubuhkan pasukan untuk bersaing dalam kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) tahun depan.

Khabar angin itu semakin kencang selepas Megat dalam sidang media semalam memaklumkan beliau kini sedang mempertimbangkan untuk mengikat khidmat antara dua pemain terbaik hoki negara itu.

“Semua mahukan yang terbaik dalam skuad mereka. Sekarang ini saya sedang memantau pemain terbaik negara dan bakat kedua-dua adik beradik ini memang tidak dapat dinafikan lagi.

“Bagaimanapun keputusan perlu dibincangkan bersama barisan kejurulatihan sebelum sebarang keputusan dibuat, ” katanya.

Sementara itu Fitri, 26, berkata dia bersedia meninggalkan pasukan Pantai Timur, Pasukan Hoki Terengganu (THT) andai benar ada tawaran yang menarik ditawarkan kepadanya.

“Pastinya saya akan pilih pasukan yang memberi tawaran yang menarik. Jika tawaran dari KL lebih bagus saya akan ke KL tapi kalau tawaran dari THT lebih menarik saya akan kekal di sana.

“Apapun saya akan fikir semula mengenai perkara ini kerana ia akan membabitkan banyak perkara terutama ketika ini saya sedang menyambung pelajaran di peringkat Masters yang menyebabkan saya perlu kerap berada di KL.

“Kalau saya berhijrah, saya akan membawa Faizal sekali bersama-sama saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 8:17 PM