PEMAIN Melaka United, Mohd Nazrin Mohd Nawi (kiri) diasak pemain Felda United, Muhammad Anwar Ibrahim pada aksi Piala Malaysia, di Stadium Hang Jebat. -Foto RASUL AZLI SAMAD
Nazri Abu Bakar

[email protected] nstp.com.my

FELDA United bangkit dari ketinggalan untuk mencipta kemenangan 3-1 keatas Melaka United pada aksi di Stadium Hang Jebat malam ini, sekali gus menghidupkan impian mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Namun permainan seimbang pada awal babak pertembungan menyaksikan kedua-dua pasukan yang cuba memburu jaringan gagal diterjemah walaupun giat mencuba.

Bagaimanapun gol yang dicari tuan rumah akhirnya berjaya dicipta menerusi rembatan Luka Milunovic pada minit ke-37 selepas memperdaya dua pertahanan pelawat.

Milunovic yang menerima hantaran lintang dari sebelah kanan menerusi pemain sayap lincah Deevan Raj mengambil keputusan tepat meledak kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Norazlan Razali.

Namun ketika penguasaan Hang Tuah agak selesa dengan jaringan terbabit , kapten pasukan pelawat Hadin Azman yang menerima hantaran jauh rakan sepasukan melakukan percubaan tepat ke dalam jaring tuan rumah untuk gol penyamaan pada minit terakhir (m-45) babak pertama.

Rembatan kaki kiri kencang bekas pemain kebangsaan dalam kotak penalti itu menuju deras ke kanan gawang tuan rumah yang gagal dinafikan penjaga gol Ahmad Solehin Mamat sekali gus nengikat keputusan 1-1 ke bilik persalinan.

Babak kedua menyaksikan asakan hebat dilakukan terus oleh anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan namun kelekaan membawa padah selepas hantran lintang S Chanturu disudahkan dengan tenang oleh Muhammad Danial Amier Nurhisham pada minit ke- 69.

Malah kubu pasukan Melaka bocor lagi tiga minit selepas itu menerusi jaringan penalti Hadin untuk gah selesa 3-1 sekali gus mengubah skrip keputusan perlawanan.

Gol terbabit bermula atas kesilapan Ahmad Solehin yang cuba mengeluarkan bola namun singgah ke kaki Khairul Amri yang cuba menolak masuk ke gawang terbuka sehingga memaksa Razman Roslan menjatuhkan import Singapura terbabit.

Kekalahan MU menyebabkan skuad terbabit belum mampu mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun masih berada di carta teratas kumpulan D berdasarkan kesemua pasukan masih memiliki baki dua perlawanan.

Sementara kemenangan pertama pelawat yang diraih di laman lawan itu cukup untuk meletakkan saingan masih terbuka buat kesemua pasukan dalam kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 12:32 AM