Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora. FOTO File NSTP
Rizar Mohd Noor


GABUNGAN pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan JDT II akan diturunkan untuk melayani kunjungan skuad kebangsaan Nepal pada aksi persahabatan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam esok.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, perlawanan itu merupakan satu penghormatan besar buat skuad JDT apabila Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal (ANFA) memilih mereka untuk aksi persiapan pasukan itu menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

"Kami merancang menurunkan pemain yang jarang diturunkan dalam aksi kompetitif sekali gus memberi peluang kepada pemain utama untuk direhatkan selepas mengharungi jadual padat.

"Pemain yang jarang diturunkan berpeluang merasai aksi kompetitif dan menentang pasukan antarabangsa dan sudah pastinya kami akan memperagakan aksi terbaik nanti

“Kita tahu pasukan Nepal juga dibarisi pemain berkualiti dan memiliki taktikal permainan menarik," katanya yang sudah mengenal pasti beberapa pemain JDT II yang akan beraksi dalam perlawanan itu.

Katanya, JDT sentiasa mahu berada di hadapan dan aksi menentang Nepal membuktikan betapa pasukan itu melihat kredibiliti pasukan Harimau Selatan yang mengambil berat tentang kemajuan bola sepak walaupun berstatus pasukan kelab dan sudah menempa kejayaan di peringkat negara dan antarabangsa.

"Bukan mudah untuk pasukan antarabangsa beraksi menentang JDT dan ia satu pengiktirafan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 1:33 PM