Ferris Danial (kanan) dicabar pemain Terengganu FC, Lee Andrew Tuck. FOTO NSTP/IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Amin Jalil


MUHAMMAD Ferris Danial Mat Nasir kembali mendapat rentak selepas membantu Negeri Sembilan (NS) menewaskan Terengganu FC (TFC), 3-2, kelmarin, mahu mengekalkan prestasi itu pada perlawanan akan datang.

Penyerang berusia 27 tahun itu, menjaringkan gol minit ke-4 perlawanan, berkata, dia mahu terus proaktif menjana serangan dan membantu pasukan mendapatkan kemenangan pada baki dua perlawanan Kumpulan A saingan Piala Malaysia musim ini.

"Sebelum ini kami dapat peluang tapi tak boleh skor. Alhamdulillah, kali ini berhasil.

Saya berharap dapat terus jaringkan gol dalam perlawanan akan datang untuk bantu pasukan mendapatkan kemenangan.

"Kejayaan ke atas TFC diharap menjadi pencetus semangat kepada pemain meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan menentang PKNS FC dan Kedah selepas ini," katanya di Seremban, hari ini.

NS tangga tercorot Kumpulan A, mengutip tiga mata berbanding TFC (sembilan mata) diekori Kedah (tujuh mata) dan PKNS (empat mata).

Ferris Danial, bekas pemain TFC berkata, dia dan rakan sepasukan perlu memantapkan persembahan masing-masing kerana cabaran selepas ini lebih getir.

Satu kekalahan perlawanan akan menutup peluang mereka ke suku akhir.

"Kami perlu memanfaatkan sebaik mungkin tempoh rehat sebelum saingan bersambung pada 13 September nanti untuk meningkatkan prestasi dan memperbaiki setiap kelemahan dalam pasukan.

"Semua rakan dalam pasukan ini sedar tanggungjawab masing-masing dan harapan tinggi pengurusan pasukan serta penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 4:59 PM