Tajul yakin skuad Perak akan berjaya ke peringkat seterusnya. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


PENGURUSAN Persatuan Bolasepak Perak optimis pasukan Perak mampu lolos ke pusingan suku akhir saingan Piala Malaysia 2019, biarpun mempamer prestasi agak longlai ketika ini.

Selepas dikecewakan Pahang dalam perlawanan ketiga, momentum skuad The Bos Gaurus sedikit menurun apabila mencatat seri, 1-1 menentang Pulau Pinang di gelanggang lawan.

Sebelum ini, juara bertahan Piala Malaysia itu turut seri 1-1 dengan skuad Pulau Mutiara itu di Ipoh.

Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar ketika dihubungi, hari ini mengakui lega pasukannya tidak kalah dan berharap ada kebangkitan drastik dijelmakan dalam dua perlawanan terakhir nanti.

Katanya, beliau juga enggan menyalahkan jurulatih atau pemain kerana jelas mereka sudah memberikan sepenuhnya dalam perlawanan kelmarin, namun nasib tidak memihak.

"Saya tidak akan salahkan sesiapa. Bagi saya kita sudah usaha sedaya upaya. Jika ditakdirkan kalah, nak buat bagaimana. Mujur seri, kalau kalah lagi malu.

"Saya tahu kita ada pemain berkualiti dan berkaliber, namun perlu terima hakikat ada ketika apa yang dibuat tidak menjadi.

"Saya tetap yakin jurulatih dan pemain mampu melakukan kebangkitan. Saya juga tidak fikir mereka ada niat supaya pasukan kalah kerana kita semua bersatu seperti sebuah keluarga dan pengurusan tiada masalah dengan pemain dan jurulatih hingga kini," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Tajul Hasnan berkata, keyakinan beliau juga berasaskan kebangkitan hebat Perak menewaskan Pahang 3-0 untuk ke final Piala FA, biarpun tewas 3-1 pada separuh akhir pertama.

"Kita akan cuba habis-habisan untuk menang ke atas Pahang di Ipoh dan Sabah (Kompleks Sukan UMS) dalam dua perlawanan terakhir nanti untuk ke pusingan kedua. Itu harapan saya.

"Walaupun Pahang sudah layak secara automatik, kita tidak pandang mudah dan yakin mereka akan berusaha mempertahankan kemenangan," katanya.

Perak kini berkongsi lima mata dengan Pulau Pinang hasil satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan selepas empat perlawanan.

Skuad Tok Gajah menempah tiket awal ke suku akhir Piala Malaysia 2019 selepas menang 1-0 ke atas Sabah sekali gus menggungguli Kumpulan C dengan 12 mata daripada empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:57 PM