Umar (dua kiri) bersama Marzuki (tengah) selepas meraih kejuaraan. FOTO Ihsan Persatuan Muay Thai Melaka.
Nazri Abu Bakar


ATLET Sukan Malaysia (SUKMA) Melaka, Umar Usman Abu Bakar atau dikenali Umar Al Matin meraih tali pinggang Timbalan Menteri Luar, Senator Datuk Marzuki Yahya pada Kejohanan Muay Thai Amatur dan Profesional Negeri Melaka di Dewan Bestari, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Dia baru berusia 18 tahun diberi tentangan sengit lawannya Mohd Azwan Afiq Azam, 21 atau Hafiz Welding dari Kelab GYM Muaythai Negeri Sembilan menerusi kiraan mata tiga pusingan sebelum disahkan memenangi tali pinggang itu, malam tadi.

Umar berkata, kejayaan berkenaan membakar semangatnya untuk memenuhi sasaran merangkul pingat emas di SUKMA Johor 2020.

"Sokongan keluarga, pengurusan, jurulatih, penyokong serta fokus jitu dan semangat diakui menjadi resepi kejayaan.

"Apapun latihan agresif dan menyertai banyak pertandingan menjelang SUKMA akan terus menjadi antara persediaan penting dalam memenuhi misi itu," katanya mewakili Persatuan Muay Thai Negeri Melaka (PMNM).

Kejohanan itu disertai 52 atlet Muay Thai.

Presiden PMNM, Haris Alias berkata, sokongan semua pihak terutama penggiat sukan berkenaan amat membanggakan.

Katanya, antara pemenang termasuk Fakhrul Hadi (Penyu Mas, Terengganu) bagi kategori 60kg dan Mat Korro Nook Kok Supergame (Johor), meraih tali pinggang prestige waves.

Beliau berkata, beberapa bakat baharu dipilih untuk menjalani latihan bersama pasukan SUKMA Melaka di bawah kendalian jurulatih, Emrita Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 8:33 PM