CHOUPO-MOTING (dua kanan) membuka tirai jaringan menentang Toulouse di Parc des Princes, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

PARIS Saint-Germain kehilangan bintang serangan Edinson Cavani dan Kylian Mbappe susulan kecederaan awal pagi tadi ketika masalah juara Perancis itu semakin meruncing walaupun membelasah Toulouse 4-0.

Anak buah Thomas Tuchel, yang tewas di Rennes minggu lalu, menyaksikan permulaan musim mereka didominasi dengan kemelut perpindahan Neymar.

Pemain Brazil itu sekali lagi diketepikan daripada skuad di Parc des Princes berikutan khabar angin perpindahan ke Real Madrid atau kembali ke Barcelona dan Tuchel menyaksikan rangkaian serangannya hancur ketika Cavani dan Mbappe kedua-duanya terhincut-hincut – begitu juga pertahanan tengah Abdou Diallo.

Eric Maxim Choupo-Moting meledak dua gol babak kedua namun hanya selepas masuk menggantikan Cavani yang cedera, manakala Mbappe turut keluar kerana kecederaan hamstring.


MBAPPE terbaring kesakitan kerana kecederaan hamstring. — FOTO Reuters

“Kami akan menanti keputusan ujian,” kata jurulatih Tuchel. “Ini kecederaan berbeza dalam aksi berbeza.

“Tidak ada sebarang penjelasan, kami perlu melihat semua kemungkinan. Saya kecewa kerana kami bercakap mengenainya ketika kami amat kuat.”

Kelab gergasi ibu negara itu ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Ligue 1, Rennes, yang menang tiga aksi pertama liga selepas menundukkan Strasbourg 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 9:56 AM