BECAO (dua kanan) menanduk masuk gol kemenangan Udinese di Udine. — FOTO EPA
AFP

AC Milan kecundang pada halangan pertama apabila tewas 0-1 di Udinese pada perlawanan pembukaan musim Serie A awal pagi tadi ketika pemain baharu tuan rumah dari Brazil, Rodrigo Becao meledak gol kemenangan babak kedua.

AC Milan berakhir di tangga kelima musim lalu, terlepas aksi kelayakan ke Liga Juara-Juara dan digantung daripada Liga Europa musim ini susulan melanggar peraturan kewangan.

Mereka menukar jurulatih dengan bekas bos Sampdoria, Marco Giampaolo mengambil alih daripada Gennaro Gattuso bagi pasukan yang tidak banyak berubah berbanding musim lalu.

Juara Eropah tujuh kali itu kurang inspirasi di Udine, menentang pasukan tuan rumah yang berakhir di tangga ke-12 musim lalu selepas bergelut mengelak turun divisyen.


PIATEK (kiri) melepasi kawalan pemain Udinese, William Ekong. — FOTO EPA

Barisan serangan Milan, Krzysztof Piatek – penjaring gol ketiga terbanyak Serie A musim lalu – pemain Sepanyol, Suso dan Samu Castillejo, gagal melakukan percubaan tepat ke arah gol.

Becao, 23, memecah kebuntuan pada minit ke-72 apabila dia menanduk masuk sepakan sudut Rodrigo De Paul sekali gus melepasi jangkauan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma.

“Keputusan negatif tidak bagus, tapi saya akan cuba melakukan analisis terperinci dan menjelaskan perkara tertentu,” kata Gianpaolo.

“Visi saya mengenai Milan amat berbeza. Ia bukan hanya Suso dan Castillejo, tapi Piatek juga. Kami perlu membina sesuatu yang berbeza di bahagian depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 10:43 AM