WERNER (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan di Leipzig, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

GOL sumbangan Timo Werner dan Yussuf Poulsen pada setiap babak membolehkan RB Leipzig menang 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt awal pagi tadi sekali gus mengekalkan permulaan sempurna kempen Bundesliga.

Werner, pemain kebangsaan Jerman yang turut meledak gol ketika aksi pembukaan liga minggu lalu, menandatangani sambungan kontrak hingga 2023 sebelum perlawanan itu dan kemudian meraikannya dengan menjaringkan gol pertama Leipzig.

Sebaik sebelum sepak mula, kelab itu mengumumkan perjanjian baharu bersama Werner, yang dikaitkan beberapa kali dengan perpindahan ke Bayern Munich sejak beberapa bulan lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu, yang menjaringkan 62 gol dalam 116 perlawanan bersama kelab itu sebelum aksi awal pagi tadi, sekali lagi meledak selepas hanya 10 minit.


POULSEN (tengah) cuba melakukan sepakan gunting ke arah pintu gol Eintracht. — FOTO AFP

Poulsen menambah gol kedua dengan sepakan voli pada minit ke-80 sebelum Frankfurt mengurangkan defisit menerusi tampanan jarak dekat Goncalo Paciencia seminit sebelum tamat.

Leipzig menang kedua-dua perlawanan setakat ini dan terikat dengan enam mata bersama Borussia Dortmund, yang menang 3-1 ke atas Cologne Jumaat lalu, Freiburg dan Bayer Leverkusen.

VfL Wolfsburg turut menyertai mereka dengan mata maksimum selepas membenam Hertha 3-0.

Wout Weghorst meletakkan Wolves di depan menerusi sepakan penalti pada minit kesembilan sebelum dua gol lewat Josip Brekalo dan Jerome Roussillon memastikan tiga mata buat pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 11:48 AM