SUMAREH.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh diharap segera pulih daripada kecederaan pangkal paha apabila skuad Harimau Malaya turun pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia yang hanya tinggal kira-kira sembilan hari lagi.

Pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe berharap pemain kelahiran Gambia itu mampu pulih sebelum aksi pertama pasukan di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September ini.

“Kalau ikutkan hari kedua masih lagi belum (melakukan latihan keras) kerana belum sampai tahap maksimum. Masih lagi sesi latihan dalam suasana biasa dan sudah tentu kita akan memantau tahap kecergasan pemain terutama Mohamadou Sumareh.

“Pada perlawanan (Piala Malaysia) Pahang menentang Sabah dia tak beraksi kerana mengalami kecederaan pangkal paha. Dia pun dah dekat dua minggu tak berlatih penuh (bersama Pahang), jadi kita akan memantau tahap kecergasan dan kecederaannya.

“Saya harap dia akan pulih dalam masa singkat. Kita tahu Sumarah akan beri satu impak kepada pasukan,” katanya pada sesi latihan hari kedua skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas peluang anak buahnya di Stadium Gelora Bung Karno kelak, Cheng Hoe mahu pemain supaya tidak terlalu beremosi kerana ia boleh menghukum pasukan.

“Saya rasa mana-mana pertandingan pun, perlawanan pertama amat penting kerana ia memberi satu motivasi untuk pasukan dan keyakinan diri.

“Sudah tentu bertandang di Indonesia bermain di Gelora Bung Karno bukan kerja mudah, tetapi kalau pemain dapat cepat sesuaikan diri dengan suasana dan tekanan, kita perlu fokus kepada perlawanan dan tak boleh terlalu beremosi.

“Tiap-tiap kali main dengan Indonesia, mana-mana negara jiran kita terlalu emosi. Itu boleh menyebabkan kita hilang fokus dan kita takkan dapat keputusan positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 6:00 AM