FEDERER melambai kepada penonton selepas menewaskan Sumit pagi tadi. — FOTO Reuters
FEDERER melambai kepada penonton selepas menewaskan Sumit pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

ROGER Federer berasakan persembahan hambar ketika menang pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat ke atas pemain India, Sumit Nagal pagi tadi “bukanlah teruk sangat.”

Pilihan ketiga dari Switzerland itu, juara lima kali di New York, menghasilkan 19 ‘unforced error’ sekali gus kalah set pertama menentang pemain ranking ke-190 dunia itu yang tidak pernah menang pada tahap jelajah.

Pemain berusia 38 tahun itu bangkit sebelum menang 4-6, 6-1, 6-2, 6-4 sekali gus mencatat kemenangan ke-1,224 karier dan mencetus pertemuan dengan pemain Bosnia, Damir Dzumhur.

“Mungkin tidaklah teruk sangat untuk melalui perlawanan sebegini. Ia agak sama dengan di Wimbledon apabila saya kalah set pertama di sana juga pada pusingan pertama,” kata Federer, yang tewas aksi epik lima set di tangan Novak Djokovic pada final di Kelab All England bulan lalu.

“Akhirnya anda melihat kepada tiga set terakhir dan ia amat bagus. Ia amat mengujakan.”

Persembahan buruk set pertama memberi peringatan kepada Federer, yang kini menang 62-0 pada pusingan pertama acara Grand Slam sejak Terbuka Perancis 2003.

Kemenangan Federer menyaksikannya layak ke pusingan akhir Jelajah ATP dengan rekod 17 kali, sekalipun dia bergelut ketika melakukan servis untuk memenangi perlawanan pada set keempat, kesukaran yang sama seperti final Wimbledon bulan lalu apabila dia mensia-siakan dua mata kejuaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 1:48 PM