SIMONA lega selepas mengalahkan Nicole sekali gus mengatasi badi pusingan pertama Terbuka AS. — FOTO AFP
AFP

JUARA Wimbledon, Simona Halep, yang tewas pada pusingan pertama Terbuka AS bagi dua tahun terakhir, berasa bebanannya hilang pagi tadi selepas akhirnya layak ke pusingan kedua.

“Jelas sekali saya berasa lega sekarang,” kata Simona. “Saya berasa lebih bagus akhirnya saya boleh menang perlawanan pada kejohanan ini.”

Pilihan keempat dari Romania itu mengalahkan pemain AS, Nicole Gibbs 6-3, 3-6, 6-2 di Stadium Louis Armstrong untuk menempah pertemuan pusingan kedua menentang seorang lagi pemain tuan rumah, Taylor Townsend.

Simona tewas kepada juara lima gelaran Grand Slam, Maria Sharapova pada pusingan pertama 2017 sebelum kecundang di tangan pemain Estonia, Kaia Kanepi tahun lalu.

“Tekanan hari ini amat tinggi. Menang satu perlawanan dalam tempoh tiga tahun, ia memang sukar,” kata Simona sambil tersenyum. “Tapi baguslah saya mampu melepasinya.

“Saya tertekan sebelum perlawanan, juga di gelanggang ini saya kalah tahun lalu. Tidak mudah. Tapi saya amat gembira saya mampu menangani akhirnya untuk beraksi lebih baik berbanding sebelum ini.”

Simona boleh merampas status pemain nombor satu dunia jika menang kejuaraan Terbuka AS selain memburu ranking nombor satu hujung tahun yang dipegangnya tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 2:17 PM