NEYMAR (tengah) berlatih dengan rakan sepasukan di pusat latihan Ooredoo, semalam. — FOTO Reuters
AFP

NEYMAR berlatih dengan rakan sepasukan Paris Saint-Germain semalam ketika laporan di Perancis dan Sepanyol membayangkan perjanjian untuk membawanya kembali ke bekas kelab Barceona mungkin boleh dipersetujui sebelum jendela perpindahan ditutup.

Jendela perpindahan berakhir Isnin ini, 2 September, menyebabkan Barcelona kesuntukan masa untuk mencapai persetujuan dengan PSG yang membolehkan penyerang Brazil itu kembali ke Nou Camp.

Akhbar sukan Perancis, L’Equipe melaporkan, selepas bidaan gagal sebelum ini, Barcelona membuat tawaran baharu 160 juta euro (RM748 juta) yang dibayar secara ansuran dua kali.

Menurut Le Parisien, Barcelona bersedia membayar harga lebih rendah sedikit, antara 140 hingga 150 juta euro (RM655j-RM702j) selain turut menawarkan pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic serta membenarkan Ousmane Dembele pulang ke Perancis secara pinjaman.

Bagaimanapun, ejen Dembele, pemain sayap Perancis berusia 22 tahun menegaskan pemain itu tidak berminat digunakan sebagai ‘umpan’ dalam perjanjian membabitkan Neymar.

“Ousmane 100 peratus kekal di sini. Tiada peluang dia meninggalkan kelab ini. Dia mahu mengukuhkan kedudukannya di Barca,” kata Moussa Sissoko kepada stesen televisyen Perancis, TF1.

Di Catalonia, stesen radio RAC1 melaporkan Barcelona sudah membuat pinjaman untuk membayar yuran perpindahan Neymar, selepas mereka membelanjakan 120 juta euro (RM561 juta) pada musim panas kali ini ketika membeli Antoine Griezmann dari Atletico Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 11:16 AM