KROOS perkuat cabaran Jerman hadapi Belanda. - FOTO Agensi
Reuters

PEMAIN tengah, Toni Kroos disenaraikan dalam skuad Jerman menghadapi Belanda dan Ireland Utara dalam aksi kelayakan Euro 2020 dengan Emre Can serta penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen turut dipanggil semula memperkasakan cabaran pasukan.

Kroos terlepas aksi antarabangsa pada Jun lalu susulan kecederaan otot manakala rakan seposisi, Can kali terakhir beraksi bersama Jerman pada Oktober 2018 dan Ter Stegen pula menjalani rawatan pemulihan lutut.

Jerman yang mahu menebus duka 2018 apabila tersingkir pada saingan kumpulan Piala Dunia dan Liga Negara-Negara menerima kunjungan Belanda pada 6 September di Hamburg. Mereka kemudiannya berkunjung ke Belfast berdepan Ireland Utara tiga hari selepas itu.

Jerman kini menduduki tangga kedua dalam kumpulan kelayakan Euro 2020 dengan sembilan mata daripada tiga perlawanan termasuk kemenangan ke atas Belanda di tempat lawan. Ireland Utara meraih 12 mata tetapi beraksi lebih satu perlawanan.

"Kami mahu memulakan musim antarabangsa dengan penuh konsentrasi dan Euro menunggu pada penghujung kempen musim panas akan datang,” kata jurulatih, Joachim Loew dalam satu kenyataan.

"Misi kami menjadi lebih kuat dan layak secepat yang boleh.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 12:01 AM