FORREST (tengah) meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan di Stockholm, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

CELTIC layak beraksi pada peringkat kumpulan Liga Europa awal pagi tadi, juara Scotland itu kemudiannya disertai musuh tradisi mereka Rangers pada majlis undian petang ini.

Ketika Celtic membenam kelab Sweden, AIK 4-1 pada playoff kedua untuk mara dengan agregat 6-1, Rangers mengatasi Legia Warsaw 1-0 menerusi tandukan masa kecederaan Alfredo Morelos selepas seri tanpa jaringan pada aksi pertama.

Rangers kendalian Steven Gerrard mempunyai sebahagian daripada tempat duduk penonton di Ibrox ditutup sebagai hukuman oleh UEFA kerana sikap perkauman penyokong mereka pada awal pertandingan itu.

Turut berada dalam undian di Monaco petang ini adalah Wolverhampton Wanderers.


JIMENEZ (tiga kanan) meledak gol buat Wolves di Molineux. — FOTO Reuters

Kelab Liga Perdana Inggeris itu, bermain kempen pertama Eropah sejak 1981, mengalahkan Torino 2-1 – gol hadir menerusi Raul Jimenez dan Leander Dendoncker – di Molineux untuk layak 5-3 secara agregat.

“Ini pencapaian besar buat kami,” kata pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo.

“Ia amat sukar setakat ini. Cara penyokong menekan kami, mereka adalah pemain ke-12.”

Di Sweden, James Forrest membuka tirai jaringan selepas gerakan satu-dua dengan Odsonne Edouard buat Celtic. Ia gol ketujuh Forrest dalam lapan aksi terakhirnya.

Sebastian Larsson kemudian mencetus sisa-sisa harapan buat AIK menerusi sepakan penalti namun seminit kemudian rembatan leret Mikey Johnston gagal ditampan kemas penjaga gol AIK, Oscar Linner.

Gol lewat Christopher Jullien dan Lewis Morgan melengkapkan malam hebat buat anak buah Neil Lennon di Arena Solna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 9:04 AM