Syazwan Msar


SKUAD Harimau Malaya tidak goyah bertemu lawan pasukan di kedudukan ranking ke-99 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila sekadar tewas tipis 0-1 pada perlawanan persahabatan bertemu Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe tampil meyakinkan apabila mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan dari Timur Tengah sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Cuma sedikit kesilapan pertahanan negara yang gagal mengekang serangan pada babak awal separuh masa pertama perlawanan membolehkan kapten Jordan Said Morjan menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ke 7.

Jelas kesilapan terbabit diperbaiki segera barisan pemain Cheng Hoe dengan memperkemaskan lagi pertahanan dan bahagian tengah namun ketumpulan bahagian serangan menafikan mereka untuk menggegarkan gawang lawan hingga tamat separuh masa pertama.


AKSI Nor Azam (kiri) mengawal bola daripada dirampas pemain Jordan ketika aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Separuh masa kedua bermula menyaksikan Harimau Malaya menyusun strategi dengan mengatur serangan daripada semua bahagian.

Harimau Malaya hampir menyamakan kedudukan menerusi Norshahrul Idlan Talaha hasil umpanan Safawi Rasid namun rembatan penyerang Pahang itu berjaya ditepis penjaga gol Jordan, Yazeed Abulaila sekali gus memberi kelegaan kepada pengendalinya Vitak Borkelmans.

Safawi yang juga bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) turut hampir mencetak nama sebagai penjaring gol namun sepakan percumanya sedikit tersasar sekali gus mengecewakan hampir 14,000 penyokong yang hadir di stadium.

Cheng Hoe dilihat lebih memberi tumpuan mencari keserasian dan barisan pemain terbaik untuk dibawa ke Indonesia bagi menghadapi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membuat pertukaran lima pemain membabitkan jentera serangan dan sayap namun gagal merobek gawang lawan sekali gus keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 10:54 PM