Danso (kanan) mengasari McTominay sebelum dibuang padang oleh pengadil. FOTO REUTERS
Danso (kanan) mengasari McTominay sebelum dibuang padang oleh pengadil. FOTO REUTERS
AFP

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui skuadnya kurang ketajaman penyudah di depan pintu gol selepas diikat 1-1 oleh Southampton yang beraksi dengan 10 pemain di St Mary’s, malam tadi.

United kini sudah mencicirkan mata untuk kali ketiga selepas empat perlawanan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Mereka hanya menang satu daripada 10 perlawanan terakhir sejak penghujung musim lalu.

Daniel James yang membuat permulaan cemerlang karier bersama United meneruskan rentak itu selepas menjaringkan gol ketiga selepas empat perlawanan untuk memberikan skuad pelawat gol pendahuluan pada m-10.

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl (kanan) ceria manakala Solskjaer hampa. FOTO REUTERS
Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl (kanan) ceria manakala Solskjaer hampa. FOTO REUTERS

Biarpun membelanjakan £130 juta (RM665j) untuk mengukuhkan benteng pertahanan dengan pembelian Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka, United masih goyah di bahagian belakang.

Ia terbukti selepas Jannik Vestergaard menanduk masuk gol penyamaan Southampton pada separuh masa kedua (m-73).

Pemain skuad tuan rumah Kevin Danso dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

United tidak dapat memanfaatkan kelebihan pemain dimiliki biarpun memberi tekanan pada penghujung perlawanan.

"Kami bermula dengan baik dan mendapat semula rentak perlawanan sepertimana kami mahukan.

Kami perlu menamatkan perlawanan dengan menjaringkan gol kedua dan ketiga tetapi ia tidak menjadi dan terlepas," kata Solskjaer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 10:58 PM