AUBAMEYANG (tengah) meraikan gol penyamaan bersama Matteo Guendouzi (kanan) dan Dani Ceballos di Stadium Emirates, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AUBAMEYANG (tengah) meraikan gol penyamaan bersama Matteo Guendouzi (kanan) dan Dani Ceballos di Stadium Emirates, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

ARSENAL bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Tottenham pada pertembungan menarik musuh setempat utara London awal pagi tadi yang mana kedua-dua pasukan berasa mereka patut menang.

Spurs menggunakan kesempatan susulan kelompongan bahagian tengah Gunners pada awal aksi apabila Christian Eriksen menampan masuk berikutan serangan balas pantas sebelum penalti Harry Kane menggukuhkan kedudukan naib juara Liga Juara-Juara itu.

Bagaimanapun Arsenal sering kali mengancam ketika menyerang dan selepas Alexandre Lacazette mengurangkan defisit pada masa kecederaan babak pertama, mereka memang berhak meraih satu mata selepas rehat.

Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat gol penyamaan 19 minit sebelum tamat malah Arsenal berjaya meletakkan bola sekali lagi ke dalam jaring menerusi Sokratis Papastathopoulos, namun terkedu apabila bendera ofsaid diangkat.

ERIKSEN (kanan) menjaringkan gol pembukaan mengatasi Bernd Leno. — FOTO Reuters
ERIKSEN (kanan) menjaringkan gol pembukaan mengatasi Bernd Leno. — FOTO Reuters

Keputusan seri itu menyaksikan penantian lama Tottenham untuk meraih kemenangan di gelanggang lawan dalam Liga Perdana Inggeris sejak Januari lalu berterusan.

Arsenal kekal dua mata di depan musuh setempat mereka itu dengan tujuh mata daripada empat aksi pertama dengan Spurs mengutip lima mata.

“Apabila anda mendahului 2-0 anda menjangkakan untuk menang tidak kira siapa yang anda temui. Gol sebelum rehat mengubah momentum,” kata Kane.

“Jika hantaran beberapa bola di kawasan penalti lawan lebih bagus, kami mampu mencipta lebih banyak peluang. Mengaibkan kerana kami tidak berjaya menyudahkannya. Tapi ini Liga Perdana dan jika anda tidak menghukum lawan mereka akan menghukum anda pula.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 7:39 AM