SERENA menjerit kegembiraan meraikan kemenangan ke atas Petra pada Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

SERENA Williams mengatasi kebimbangan cedera untuk meneruskan usaha menyamai rekod 24 gelaran Grand Slam pada Terbuka AS pagi tadi ketika juara Roland Garros, Ashleigh Barty dan Karolina Pliskova tersingkir pada pusingan keempat.

Serena, pemenang Terbuka AS enam kali, menang 6-3, 6-4 ke atas pilihan ke-22 dari Croatia, Petra Martic untuk menempah tiket suku akhir menentang pemain China, Wang Qiang, yang membenam cabaran pemain nombor dua dunia Ashleigh.

Bintang AS berusia 37 tahun itu memerlukan rawatan pada set kedua apabila dia cedera buku lali kanan ketika cuba membalas pukulan di jaring namun pulih untuk layak ke suku akhir di New York buat kali ke-16.

“Saya berasa bagus sekarang secara fizikal,” kata Serena, yang menerima balutan tambahan di buku lali.


WANG Qiang membalas pukulan Ashleigh pada pusingan keempat Terbuka AS. — FOTO AFP

“Tapi saya akan tengok esok. Setakat ini saya bagus. Saya berjaya menanganinya. Kami akan lihat bagaimana keadaannya esok.”

Serena, pemain pilihan kelapan yang turut mengalami kecederaan lutut dan belakang musim ini, berasa kejutan mental apabila ia berlaku namun mampu meneruskan perjuangan sebelum menang.

Dia akan menentang pilihan ke-18, Wang Qiang buat kali pertama selepas pemain China berusia 27 tahun itu meneruskan catatan terbaiknya pada acara Grand Slam dengan kemenangan 6-2, 6-4 ke atas Ashleigh.

Johanna Konta membalas dendam kekalahannya di tangan Karolina pada final di Rome Mei lalu, menundukkan pilihan ketiga dari Republik Czech itu buat kali kedua dalam lapan pertemuan 6-7 (1/7), 6-3, 7-5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 12:13 PM