NAOMI tunduk kesedihan selepas tewas kepada Belinda pada Terbuka AS. — FOTO Reuters
NAOMI tunduk kesedihan selepas tewas kepada Belinda pada Terbuka AS. — FOTO Reuters
AFP

NAOMI Osaka gagal mempertahankan mahkota kejuaraan dan dirampas kedudukan nombor satu dunia dengan kekalahan pada Terbuka AS pagi tadi, namun dia lebih tenang dengan kekecewaan itu selepas belajar banyak pengalaman berharga.

Pilihan ke-13 dari Switzerland, Belinda Bencic menewaskan Naomi 7-5, 6-4 pada aksi pusingan keempat di Flushing Meadows, mencetus rasa kurang gembira pemain bintang Jepun berusia 21 tahun itu yang bagaimanapun tampil lebih matang.

“Bagi saya, ketika ini saya berasa sedih, tapi saya juga berasa banyak belajar sepanjang kejohanan ini,” kata Naomi.

“Saya berasa langkah yang saya ambil sebagai seorang individu lebih hebat berbanding apa yang saya boleh bayangkan pada tahap ini, jadi saya harap boleh terus meningkat. Saya sedar jika saya terus bekerja keras, saya akan meraih keputusan yang lebih bagus.”

NAOMI (kiri) berjabat tangan dengan Belinda selepas kalah pada pusingan keempat Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO AFP
NAOMI (kiri) berjabat tangan dengan Belinda selepas kalah pada pusingan keempat Terbuka AS, pagi tadi. — FOTO AFP

Naomi mengakui rasa sakit di lutut agak mengganggu permainannya sejak dua minggu lalu dan kini dia sedar betapa dia perlu bermain lebih bagus apabila tidak berada pada tahap terbaik.

“Sesuatu yang saya pelajari sepanjang musim panas ini jika anda tidak bermain pada tahap terbaik, anda akan berdepan orang yang akan bermain pada tahap terbaik mereka,” kata Naomi.

“Anda perlu menangani bagaimana untuk menang perlawanan sebegini. Perlawanan sebegini amat penting, kerana ia benar-benar menguji karakter anda. Jadi saya fikir kerana itu saya perlu meningkatkan lagi banyak perkara.”

Naomi bagaimanapun mempamerkan kematangan mengagumkan selepas aksi pusingan ketiga apabila meminta pemain remaja Coco Gauff, yang menangis selepas kalah di tangannya, menyertainya bagi temu ramah selepas perlawanan dengan kedua-duanya menangis bersama selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 1:14 PM