PEMAIN negara memanaskan badan di Padang Bolasepak A, Gelora Bung Karno.
Daripada Firdaus Hashim di Jakarta


STRATEGI pasukan Indonesia yang hanya mengadakan aksi pemanas badan menentang dua kelab Liga Indonesia nyata cukup misteri dengan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai kekuatan sebenar tuan rumah itu.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tetap kekal optimis dengan peluang skuad kendaliannya melakar kejutan apabila kedua-dua pasukan turun dalam aksi pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis ini.

"Memang sukar dapatkan maklumat tentang Indonesia tapi yang penting saya lebih fokus kepada pasukan kita. Apa formasi tak pasti lagi termasuk pemain akan kita turunkan. Apapun, kita nampak pasukan Indonesia ramai juga pertukaran pemain," katanya ketika ditemui ketika sesi latihan skuad negara di Padang Bolasepak A, Gelora Bung Karno, di Senayan hari ini.

Skuad Garuda yang kini dibimbing Simon McMenemy yang menggantikan Bima Sakti pada awal tahun ini hanya mengadakan dua aksi pemanas badan dengan dua kelab tidak didedahkan kepada umum.

Malah, aksi berkenaan dijalankan secara tertutup bagi mengekalkan rahsia tentang pasukannya yang kini diperkuatkan dengan lima tonggak naturalisasi.

Berbanding persiapan Harimau Malaya, Cheng Hoe memilih untuk menguji kekuatan anak didiknya dengan berdepan pasukan di ranking ke-99 dunia, Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan Malaysia tewas tipis 0-1.

Biarpun tewas, sekurang-kurangnya pemain negara meraih pengalaman berguna menentang pasukan terkuat itu yang dilihat juga sebagai persediaan untuk aksi kedua kelayakan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di halaman sendiri, Selasa depan.

"Setiap jurulatih ada falsafah tersendiri, mungkin beliau (McMenemy) rasa lebih selesa dalam perlawanan tertutup. Ia mungkin juga tidak mahu beri tekanan kepada pemain dan selebihnya saya tak tahu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 10:11 PM