SKUAD Harimau Malaya gigih menjalani latihan di Gelora Bung Karno.
Daripada Firdaus Hashim di Jakarta


"PERLAWANAN ini membabitkan soal kebanggaan negara", kata ketua jurulatih Indonesia, Simon McMenemy yang menyasarkan tiga mata berdepan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno malam esok.

McMenemy, 41, yang pernah mencipta sensasi dengan membawa Filipina hingga ke separuh akhir Piala AFF pada 2010 mengakui aksi menentang Malaysia pada perlawanan pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bukan hanya berkisar mengenai kemenangan semata-mata, sebaliknya ia mempertaruhkan maruah pasukan.

"Perlawanan esok sangat penting kerana bukan hanya untuk memburu mata dan memperbaiki ranking tetapi lebih daripada itu, iaitu mempertaruhkan kebanggaan negara. Kalau kita lihat kepada sejarah lalu banyak tercatat pertembungan antara kedua-dua pasukan.

"Menjanjikan sesuatu adalah perkara berbahaya tetapi apa boleh saya katakan kesemua 25 pemain sudah tidak sabar turun ke padang dan motivasi mereka begitu tinggi untuk melakar kemenangan di sini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menerusi rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, skuad Harimau Malaya tumbang 0-3 di tangan Indonesia pada 2016 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Solo.

Ketika itu, Datuk Ong Kim Swee adalah pengendali sementara skuad negara selepas mengambil alih jawatan berkenaan daripada Dollah Salleh yang meletakkan jawatan pada 2015 susulan kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, McMenemy yang berasal dari Scotland melihat persaingan Kumpulan G ibarat seperti aksi pemanas badan menjelang Piala AFF 2020 di mana ia turut menghimpunkan dua lagi pasukan serantau Thailand dan Vietnam selain UAE.

Selepas aksi bertemu Malaysia, skuad Garuda bakal melayan kunjungan Thailand yang dijadual berlangsung di Gelora Bung Karno, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 10:04 PM