AKRAM (tengah) ketika menentang Thailand pada aksi Piala AFF tahun lalu. — FOTO Mohamad Shahril Badril Saali
Firdaus Hashim di Jakarta


SAINGAN sengit di posisi tengah bertahan nyata menguatkan lagi keazaman tonggak skuad Harimau Malaya, Akram Mahinan untuk bersaing secara sihat dengan Brendan Gan di bahagian itu.

Akram yang kini beraksi untuk PKNS FC dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) sebelum ini tonggak utama kesebelasan skuad negara terutama pada kempen Piala AFF hujung tahun lalu yang menyaksikan dia beraksi penuh dalam semua perlawanan dari peringkat kumpulan hingga ke final.

Namun aksi cemerlang Brendan dalam Liga-M bersama Perak sepanjang musim ini menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggilnya yang kali terakhir menyarung jersi negara pada 2016.

Malah, pada aksi pemanas badan sebelum kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Cheng Hoe buat julung kali merehatkan Akram ketika berdepan Jordan dengan Brendan menjadi pertaruhan.


AKRAM (tiga kiri) diasak pemain Timor Leste pada aksi playoff Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Bukit Jalil. — FOTO Aziah Azmee

Meskipun skuad negara tewas 0-1 kepada Jordan pada aksi persahabatan antarabangsa itu, Brendan jelas memperagakan aksi terbaiknya.

Jelas Akram, dia menyerahkan segala-galanya di tangan Cheng Hoe untuk menentukan calon pemain di posisi tengah bertahan pada kelayakan Piala Dunia kali ini yang mana Malaysia bertarung dalam Kumpulan G bersama Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Pertama sekali, saya fokus kepada perlawanan dan fokus kepada permainan saya sendiri.

“Benda lain (persaingan tempat) saya dah biasa hadapi cuma saya kena fokus terhadap permainan saya. Paling penting saya kena ikut perancangan jurulatih,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Jakarta, kelmarin.

Harimau Malaya akan berdepan Indonesia pada aksi pertama kelayakan di Stadium Gelora Bung Karno malam ini sebelum meneruskan kempen menentang UAE di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 12:52 PM