REAKSI Nadal selepas mengatasi Schwartzman pada suku akhir Terbuka AS. — FOTO AFP
REAKSI Nadal selepas mengatasi Schwartzman pada suku akhir Terbuka AS. — FOTO AFP
AFP

RAFAEL Nadal akan berdepan pemain Itali, Matteo Berrettini pada separuh akhir Terbuka AS selepas juara 18 gelaran Grand Slam itu menewaskan pilihan ke-20 dari Argentina, Diego Schwartzman 6-4, 7-5, 6-2.

Pilihan kedua itu – juara di Flushing Meadows pada 2010, 2013 dan 2017 – mengatasi Schwartzman yang tampil penuh bersemangat buat kali kelapan dalam lapan pertembungan, sebentar tadi.

Schwartzman memberikan tentangan sengit terhadap Nadal dan dua kali bangkit daripada defisit ‘double-break’ dalam dua set pertama, namun pemain Sepanyol itu menemui sentuhan pada saat genting untuk memastikan penampilan kali kelapan pada separuh akhir di New York.

“Tiga set terus tapi cabaran besar terutama selepas dua set pertama, saya sedar betapa bagusnya dia apabila dia meraih keyakinan,” kata Nadal.

NADAL (kanan) berjabat tangan dengan Schwartzman selepas aksi suku akhir Terbuka AS, sebentar tadi. — FOTO AFP
NADAL (kanan) berjabat tangan dengan Schwartzman selepas aksi suku akhir Terbuka AS, sebentar tadi. — FOTO AFP

“Saya terlalu gembira bagaimana saya menerima situasi dan cabaran itu serta terus bersaing, mata demi mata. Saya kini di separuh akhir. Saya terlalu gembira, ia terlalu bermakna.”

Nadal turut mengelak kebimbangan mengenai kawasan lengannya ketika dia menerima rawatan pada awal set ketiga.

“Secara fizikal saya baik. Hari ini satu hari sukar, bahang panas di luar sana. Saya seorang pemain yang lambat berpeluh, tapi kadang-kadang dalam keadaan sebegitu ia sukar,” katanya.

Nadal satu-satunya bekas juara yang meneruskan cabaran dalam kategori lelaki susulan kekalahan Roger Federer dan Novak Djokovic, memberikannya peluang terbaik untuk merangkul kejuaraan utama ke-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 1:42 PM