Firdaus Hashim


AKSI menarik dipamerkan Malaysia dan Indonesia pada pertembungan bola sepak Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam ini, dicemari beberapa insiden serangan penyokong tuan rumah.

Tidak cukup dengan serangan ‘hujan batu’ beberapa jam sebelum perlawanan kumpulan G ketika penyokong Harimau Malaya memasuki pintu Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, perlawanan terpaksa dihentikan pula pada minit ke-69 apabila penyokong Indonesia mula menyerang tempat duduk penyokong Malaysia.

Selain balingan botol daripada penyokong tuan rumah, penyokong Garuda turut melempar suar.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

Selepas situasi 'panas' itu berjaya ditenangkan pihak berkuasa Indonesia, perlawanan berkenaan diteruskan oleh pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin dengan pelawat menguasai baki 20 minit permainan.

Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe mencatat kemenangan berharga menerusi dua jaringan Mohamadou Sumareh pada setiap babak dan tandukan Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-66.

Sementara, skuad Garuda memperolehi dua gol sumbangan tonggak naturalisasi dari Brazil, Alberto Goncalves.

Difahamkan sejurus aksi tamat penyokong Harimau Malaya sekali lagi menjadi mangsa kemarahan penyokong tuan rumah apabila dilempar dengan pelbagai objek sebelum keadaan berjaya di kawal pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 11:36 PM
Penyokong mula memasuki padang antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Penyokong mula memasuki padang antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.