Cheng Hoe (dua kiri) bersama jurulatih, pegawai serta pemain skuad menaiki kereta perisai Barracuda. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe lega pasukannya meraih tiga mata penting pada aksi pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas menang 3-2 ke atas Indonesia dan lebih manis ia dilakukan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Kata pengendali berusia 51 tahun itu, kemenangan pada aksi pertama sememangnya cukup penting dalam menaikkan keyakinan dan motivasi pemain menjelang aksi kedua berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur Selasa ini.

Malah, kebangkitan dramatik pemain negara pada babak kedua selepas ketinggalan dua kali turut mendapat pujian Cheng Hoe yang mengakui gembira dengan semangat juang dipamerkan anak didiknya itu.

"Seperti yang kita tahu, kita agak gugup bermain pada babak pertama di Gelora Bung Karno ini. Saya rasa aksi yang memukau daripada pemain terutama separuh masa kedua di mana pemain saya fokus kepada perlawanan saja.

"Selepas babak pertama kita berjaya mengesan kelemahan dan kesilapan dan sebab itu pada separuh masa kedua, kita buat perubahan dengan pemain berjuang hingga ke tamat aksi.

"Kita perlukan keputusan yang baik dan secara keseluruhan saya puji pemain yang berusaha bersungguh-sungguh hingga ke akhir untuk raih tiga mata beraksi di tempat lawan.

"Tiga mata pertama dalam aksi pertama ini permulaan yang baik untuk kita," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Cheng Hoe berharap barisan pemain khususnya di benteng pertahanan segera perbaiki kelemahan dan menjadikan kesilapan melepaskan dua gol sebagai pengajaran berguna sebelum turun menentang tiga lagi lawan dalam kumpulan iaitu UAE, Thailand dan Vietnam.

"Kita tahu pemain-pemain yang ada masih muda bermain di peringkat kempen kelayakan Piala Dunia ini. Saya pasti pemain sudah belajar sesuatu bukan untuk dapat pengalaman saja.

"Mereka kena konsisten bermain di peringkat tertinggi dan saya pasti pemain akan belajar sesuatu dan ini akan di bawa menentang UAE nanti," katanya.

Hasil kemenangan itu, skuad negara kini memimpin carta kumpulan selepas satu lagi aksi membabitkan pertemuan antara Thailand dan Vietnam terikat tanpa jaringan dengan UAE hanya akan mula beraksi bertemu Malaysia minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 4:39 PM