PEMAIN Indonesia ‘pancit’ pada penghujung saingan.
Daripada Firdaus Hashim di Jakarta dan Indonesia


PENGENDALI Indonesia, Simon McMenemy mengakui anak buahnya ‘pancit’ pada penghujung saingan yang menyebabkan tuan rumah gagal meraih mata apabila tumbang 2-3 kepada Malaysia dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno, kelmarin.

Jelas McMenemy, pemainnya dilihat hilang punca dan gagal memberi tentangan ketika skuad Harimau Malaya semakin ghairah memburu gol ketiga selepas bangkit dua kali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-66.

“Di babak kedua, pemain mula kepenatan, mental juga keletihan. Kerana itu pemain sukar bermain dengan baik dan mereka sudah menampilkan kemampuan terbaik mereka.

“Malah, pemain sentiasa berlari sepanjang perlawanan sehingga tidak mampu untuk berlari lagi. Tamat sahaja perlawanan, pemain terus rebah kerana keletihan,” katanya pada sidang media selepas tamat aksi kelmarin.

Sementara itu, ditanya mengenai rusuhan penyokong tuan rumah hingga mengakibatkan perlawanan terhenti selama lapan minit, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segalanya kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

“Saya tak boleh komen mengenai kekecohan penyokong kerana saya adalah tetamu di negara ini. Penyokong Indonesia sememangnya fanatik dan mereka sayangkan negara mereka.

“Apapun, pasukan perlu bangkit dan memperbaiki kelemahan untuk aksi kedua minggu depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 6:00 AM