Hamidin (tengah) ketika meninjau persiapan Skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan menentang UAE. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


"JANGAN takut dengan UAE (Emiriah Arab Bersatu)". Itu kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada barisan pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa.

Beliau yang hadir meninjau sesi latihan skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras hari ini berkata, kemenangan kedua dalam kempen kali ini cukup penting selepas kejayaan mengejutkan Indonesia 3-2 pada aksi Kumpulan G itu Khamis lalu.

"Perlawanan pada hari Selasa ini mustahak untuk kita meyakinkan diri pasukan Malaysia layak ke Piala Asia. Tak ada sebab takut dengan UAE walaupun ranking mereka.

"Kita sebelum ini pun pernah main dengan Arab Saudi dan apabila kita dapat jaringkan gol pasukan mereka dah tak berani nak main.

"Jadi komitmen di tuntut daripada penjaga gol, pertahanan dan tengah hingga penyerang untuk beri 100 peratus dalam 90 minit nanti," katanya yang cukup yakin kejutan mampu dilakukan oleh anak buah Cheng Hoe nanti.

Malah jelas Hamidin, pemain ketika ditemui dilihat cukup 'bernafsu' untuk memberikan aksi terbaik di depan penyokong sendiri dengan menyeru kepada peminat untuk hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 9:47 PM