NIKLAS Suele (kanan) beraksi ketika Jerman bertemu Belanda dalam kelayakkan Euro 2020. FOTO EPA
AFP

SELEPAS mengalami kekecewaan di tangan Belanda, skuad muda Jerman kendalian Joachim Loew kini mengharapkan sentuhan pertahanan Niklas Suele apabila mereka kembali menguji kemampuan skuad pada kempen kelayakan Euro 2020 dalam aksi mesti menang berdepan Ireland Utara awal pagi esok.

Jerman kini hanya tiga mata mendahului Belanda susulan kekalahan di Hamburg awal pagi Sabtu dan tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan C Ireland Utara yang masih belum kehilangan mata dalam saingan tiga penjuru memburu slot kelayakan automatik.

Kepantasan, kekuatan dan keupayaan untuk merampas bola yang dimiliki pertahanan Bayern Munich Suele yang dianggap sebagai ‘Virgil Van Dijk Jerman’ di media Jerman, membolehkannya menjadi pengganti Jerome Boateng dan Mats Hummels sebagai bek tengah utama untuk kedua-dua kelab dan negara.

Selepas keputusan kontroversi untuk menggugurkan dua bek tengah berpengalaman Hummels dan Boateng daripada skuad kebangsaan Mac lalu, Loew melihat pemain berusia 24 tahun itu sebagai tonggak pertahanan baharu dalam skuad Jerman yang juga berwajah baharu.

“Niklas kini mempunyai tanggungjawab, kami harapkan lebih daripadanya. Dia perlu mengatur dan mengarah urusan di bahagian pertahanan,” kata Loew pada satu ketia.

Namun pada ketika Jerman terus berusaha memulihkan skuad mereka selepas aksi mengecewakan di Piala Dunia, Suele juga bergelut untuk menstabilkan pertahanan Jerman yang tidak menentu.

Van Dijk sendiri pernah memuji bek tengah Bayern itu yang dianggapnya sebagai ‘pertahanan menakjubkan’ manakala pengerusi kelab Karl-Heinz Rummenigge menegaskan awal tahun ini bahawa Suele adalah ‘pertahanan tengah terbaik di Jerman’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 10:19 AM