DANIIL Medvedev. FOTO AFP
DANIIL Medvedev. FOTO AFP
AFP

DANIIL Medvedev berkata tenaga yang disalurkan penyokong New York membantunya memberikan cabaran meskipun tewas kepada Rafael Nadal dalam aksi klasik lima set pada final Terbuka Amerika Syarikat hari ini.

Pilihan kelima dari Russia itu ketinggalan dua set pertama kepada Nadal pada final Grand Slam pertamanya namun bangkit untuk memaksa set penentuan, hampir memadamkan defisit double break pada set kelima sebelum tewas 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4.

“Pertama sekali saya mahu mengucapkan tahniah kepada Rafa, gelaran Grand Slam ke-19 adalah sesuatu yang luar biasa, hebat,” kata Medvedev.

“Apa yang anda lakukan untuk tenis secara umum, ia sesuatu yang menakjubkan untuk sukan kami. Terima kasih dan tahniah sekali lagi.”

Medvedev pernah mengalami hubungan tidak menentu dengan penyokong di Flushing Meadows selepas tindakannya pada perlawanan pusingan ketiga mengundang ejekan penonton.

Namun pemain berusia 23 tahun itu kembali memenangi hati penonton ketika mara ke final di mana dia berusaha menjadi pemain termuda menjulang Grand Slam selepas Juan Martin del Potro menjuarai Terbuka AS pada 2009.

“Secara jujurnya saya terfikir, ‘Apa yang akan saya katakan dalam ucapan, ia mungkin mengambil masa 20 minit’, “ kata Medvedev yang ketinggalan dua set kepada Nadal.

“Saya mahu merebut setiap bola, ia pergi jauh tetapi ia tidak seperti yang saya harapkan. Saya sedar pada awal kejohanan ini saya bercakap perkara yang buruk dan kini semuanya baik.

“Kerana tenaga anda saya berada di final. Maksud saya, malam ini sentiasa dalam ingatan saya kerana saya beraksi di gelanggang terbesar dalam dunia tenis.

“Anda semua memaksa saya bermain lebih lama dalam perlawanan ini kerana anda mahukan lebih banyak permainan tenis. Kerana anda semua, saya berjuang bermati-matian.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 11:36 AM