Firdaus Hashim


PEMAIN Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bertanggungjawab memalukan Malaysia 10-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 empat tahun lalu, Omar Abdulrahman mengakui masih mengingati detik itu yang berlangsung di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi.

Sudah tentu memori itu mahu diulanginya apabila turun menentang Harimau Malaya pada edisi kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok namun bekas pemain terbaik Asia 2016 itu beranggapan corak permainan skuad kendalian Tan Cheng Hoe sudah jauh meningkat daripada sebelum ini.

"Saya anggap ia (perlawanan 2015) sudah berlalu dan perlawanan kali ini berbeza. Bagi saya, perkembangan bola sepak dunia semakin berkembang ke arah lebih gaya permainan lebih dari sehari ke sehari.

"Kami dah melihat aksi Malaysia menentang Indonesia dan mereka bermain baik.


Omar menjalani latihan di Stadium Bukit Jalil untuk menghadapi Malaysia. FOTO NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN

Kami perlu menghormati tuan rumah di mana ia bukan aksi mudah untuk kami," katanya pada sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Omar sebelum ini diketepikan daripada saingan Piala Asia awal tahun ini susulan kecederaan ACL yang hampir membunuh kariernya selaku pemain profesional.

Dia kini sudah pulih dan kembali beraksi secara kompetitif dengan kelab Al-Jazira di Liga UAE dan sentuhannya kembali ditagih oleh skuad kebangsaan yang menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia.

Katanya lagi, latihan selama dua minggu berjalan dengan lancar dan dia percaya misi untuk memungut tiga mata mampu diraih malam ini.

"Kami perlu beri fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Saya yakin dengan perancangan jurulatih dan walau siapa pun diturunkan nanti, kami akan beri aksi terbaik untuk menentang tuan rumah," katanya.

Malaysia kini mengungguli Kumpulan G selepas mengumpul tiga mata di Jakarta selepas satu lagi pertemuan antara Thailand dan Vietnam berakhir tanpa jaringan Khamis lalu.

Berdasarkan sejarah rekod pertemuan kedua-dua pasukan, kali terakhir Malaysia mencipta kemenangan ke atas UAE ketika Pesta Bola Merdeka 1982 dengan keputusan 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 8:15 PM
Cheng Hoe berjabat tangan dengan jurulatih UAE, Bert Van Marwijk (dua kiri) disaksikan Omar (kiri sekali) dan pemain tengah Malaysia, Brendan Gan. FOTO NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN