X
Tujuh pemain baru diserap dalam skuad kendalian Saizul. FOTO NSTP
Tujuh pemain baru diserap dalam skuad kendalian Saizul. FOTO NSTP
BERNAMA

KESATUAN Ragbi Malaysia (MRU) melakukan rombakan pemain dan menyenaraikan tujuh muka baharu bagi pasukan ragbi negara ke Sukan SEA ke-30 Filipina nanti.

Barisan pemain baharu bersama-sama sembilan pemain lama itu diharap dapat membantu Malaysia mengekalkan kilauan emas pada temasya dwi tahunan yang dijadualkan pada 30 Nov hingga 11 Disember ini.

Skuad ragbi negara mencipta sejarah terbesar dalam penyertaan Sukan SEA apabila meraih emas buat kali pertama menerusi pasukan lelaki tujuh sepasukan (7s) pada edisi ke-29 di Kuala Lumpur.

Jurulatih negara, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor berkata kemasukan tujuh pemain baharu itu adalah daripada Program Universiti dan Program Pembangunan MRU.

“Sebagai tuan rumah, Filipina sudah pasti letak harapan tinggi namun ia adalah satu cabaran yang baik untuk pasukan lelaki negara.

Saya harap pemain baharu dapat mengadaptasi dengan pemain lama dan memberikan komitmen tinggi serta kematangan yang baik untuk mengekalkan pingat emas.

“Kita kehilangan dua tiga pemain tapi tempat itu diisi pemain baharu dan harapannya agar pemain baharu dapat memberi impak besar kepada pasukan untuk menuju ke Sukan SEA nanti, ” kata Mohd Saizul Hafifi pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN).

Mohd Saizul Hafifi berkata antara negara pencabar pada Sukan SEA Filipina nanti ialah Thailand kerana pasukan itu menunjukkan peningkatan malah mula membawa masuk jurulatih dari luar.

Beliau juga berpendapat tuan rumah bakal memberi tentangan sengit kerana beraksi di laman sendiri, selain dijangka memanggil pemain naturalisasi bagi menggalas cabaran negara.

Pasukan ragbi negara akan menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik di Korea Selatan pada akhir November ini bagi melihat prestasi pemain serta mengenal pasti kekuatan pasukan lawan.

“Matlamat kita untuk melihat prestasi pasukan sebelum ke Sukan SEA. Tiada mengatakan sasaran besar untuk ke Sukan Olimpik. Di sana ada pasukan Filipina dan Singapura yang turut serta.

Jadi saya rasa nanti kita boleh lihat prestasi kedua-dua pasukan dan menilai sebelum melakukan persiapan akhir ke Manila,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:55 PM