SYAFIQ (tengah) menjaringkan gol pertama Malaysia menerusi tandukan. — FOTO Reuters
Arena HM

MALAYSIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terikat 1-1 selepas 45 minit pertama pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Tuan rumah mengejutkan pelawat seawal minit pertama aksi Kumpulan G itu apabila Syafiq Ahmad menanduk masuk hantaran silang Safawi Rasid dari sebelah kanan menewaskan penjaga gol Khalid Eisa.

Bagaimanapun, UAE, yang pernah membenam Harimau Malaya 10-0 pada aksi kelayakan sama empat tahun lalu, bangkit mengikat kedudukan 1-1 sebelum rehat.

Penyerang Ali Mabkhout menanduk masuk hantaran silang Mohamed Saleh dari sebelah kanan dua minit sebelum rehat sekali gus mengatasi penjaga gol negara Farizal Marlias.


PEMAIN Malaysia, Mohamadou Sumareh (dua kiri) dibentes pemain UAE, Ali Salmeen. — FOTIO Reuters

Ali sebelum itu terlepas peluang terbaik UAE pada minit ke-29 namun kecewa apabila percubaannya ditampan Farizal sebelum terkena palang dan keluar.

Pemain Malaysia, Brendan Gan dilayangkan kad kuning pertama oleh pengadil Hiroyuki Kimura dari Jepun selepas dia dipersalahkan kerana mengasari Ali ketika sepakan sudut pada minit ke-34.

Dua minit kemudian giliran Ali yang tidak berpuas hati dengan pengadil menerima kad kuning kerana dia sengaja menjatuhkan Brendan ketika sepakan sudut selepas itu.

Bagi Malaysia, ia perlawanan kedua pada kempen kelayakan selepas mengalahkan Indonesia 3-2 di Jakarta minggu lalu manakala UAE, naib juara Piala Asia, bermain kali pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 9:39 PM