X
AKSI Coman menewaskan penjaga gol Andorra di  Stade de France. - FOTO AFP
AKSI Coman menewaskan penjaga gol Andorra di Stade de France. - FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Perancis, Kingsley Coman menjaringkan gol ketiga dalam dua perlawanan selepas menjadi inspirasi pasukan ketika menewaskan Andorra 3-0 di Paris dalam aksi kelayakan Euro 2020, Kumpulan H awal pagi tadi.

Coman yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Albania 4-1 Sabtu lalu meletakkan tuan rumah di depan pada babak pertama dan percubaannya terkena tiang pada babak kedua. Clement Lenglet menggandakan jaringan selepas rehat dan Wissam Ben Yedder melengkapkan kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Juara dunia itu kekal di tangga kedua dengan 15 mata daripada enam perlawanan, sama mata dengan pendahulu Turki yang menang ke atas Moldova di tempat lawan yang dibantu dua jaringan Cenk Tosun.

Iceland di tempat ketiga dengan tiga mata di belakang selepas tewas kepada Albania 2-4 di tempat lawan hasil jaringan lewat Odise Roshi dan Sokol Cikalleshi.

Perancis yang mempunyai perbezaan gol lebih baik dijangka menentang Turki dalam aksi terakhir bagi menentukan juara kumpulan di Stade de France bulan depan.

Mereka mendahului perlawanan selepas Coman yang menerima hantaran Jonathan Ikone melepasi kawalan beberapa pertahanan dalam kotak penalti sebelum tenang menolak bola melepasi penjaga gol, Josep Gomes pada minit ke-18.

Griezmann hampir melebarkan jaringan 10 minit kemudian selepas dikasari dalam kotak penalti tetapi sepakannya diselamatkan Gomes.

Gomes sekali lagi menyelamatkan gawangnya pada minit ke-30 selepas menepis bola rembatan kencang dari jarak 30 meter oleh Raphael Varane.

Griezmann menebus kegagalan menjaringkan penalti apabila sepakan percumanya singgah tepat ke kepala Lenglet yang menanduk masuk gol kedua tujuh minit selepas babak kedua bermula.

Les Bleus kemudiannya memperolehi beberapa peluang tetapi dua percubaan menerusi Moussa Sissoko dan Coman terkena palang sebelum pemain gantian, Ben Yedder menjaringkan gol ketiga menerusi tolakan jarak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:48 AM