Aubameyang membalut keretanya dengan warna krom. FOTO REUTERS/Instagram Yiannimize
Agensi

PIERRE-Emerick Aubameyang dikritik peminat kerana tindakan membalut kereta LaFerrari miliknya berharga £2 juta (RM10.3j) dengan warna krom.

Penyerang Arsenal itu membenarkan kereta menjadi kebanggaan dan keseronokan kepadanya dibalut oleh pakar kereta selebriti (customiser) Yianni Charalambous.

Aubameyang sebelum ini turut membalut beberapa kereta mewahnya seperti Lamborghini Aventador, Range Rover Sport dan Lamborghini Urus dengan warna emas di Yiannimize.

Bagaimanapun, bekas bintang Borussia Dortmund itu mengambil keputusan melakukan modifikasi tahap baru ketika menghantar kereta LaFerrari paling disayanginya itu ke garaj khas.


Warna merah asal LaFerrari. FOTO Instagram Yiannimize

Yianni mengakui pertukaran warna pemain berusia 30 tahun itu daripada warna merah ke krom membuatkan peminatnya bertekak disebabkan perbezaan pendapat.

Dia berkata: "Pasti akan wujud perasaan suka atau benci."

Aubameyang kemudian membalas kritikan itu: "Suka saya atau tidak, saya tak ambil kisah."

Foto kereta supercar yang mampu mencapai kelajuan 217 batu sejam (349 kmh) dengan warna krom terbaru dikongsikan oleh 1.1 juta pengikut Instagram Yiannimize tetapi ia tidak mendapat reaksi diharapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:59 PM