SYAFIQ (tengah) dikawal pemain UAE di Stadium Nasional, malam tadi. — FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


PENYERANG Harimau Malaya, Syafiq Ahmad mencipta sejarah tersendiri apabila jaringannya ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi tergolong antara gol terpantas yang pernah dijaringkan skuad kebangsaan.

Gol pertama yang dijaringkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menggamatkan penyokong skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Hantaran lintang Matthew Davies dari sebelah kanan tepat ke kepala Syafiq yang menanduk masuk mengatasi penjaga gol UAE, Khalid Eisa selepas hanya 33 saat.

Namun jaringan itu bukanlah paling pantas yang pernah dijaringkan oleh pemain Malaysia apabila sebelum ini bekas penyerang kebangsaan Safee Sali pernah meledak selepas hanya 15 saat.


SYAFIQ (dua kanan) cuba melakukan tandukan ke arah gol UAE. — FOTO BERNAMA

Safee masih memegang rekod gol terpantas skuad kebangsaan apabila menjaringkan gol pembukaan ketika tewas 3-5 di tangan Singapura pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar.

Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berkata, Syafiq berada di kedudukan terbaik untuk menyempurnakan hantaran Davies.

“Jaringan itu cukup pantas dan sudah tentu dia bijak menyempurnakan ruang yang terhidang untuk mencipta gol pertama perlawanan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 8:33 PM