Mohd Zaki (tiga dari kiri) menyerahkan piala kepada Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Perak, Mahathir Ahmad Mohammad Ayob (dua dari kanan) pada sidang media kejohanan Ragbi 7 sebelah kebangsaan. FOTO Syarafiq Abd Samad
Meor Riduwan Meor Ahmad


TANPA kelibat pemain kebangsaan, Kejohanan Ragbi 7 sebelah kebangsaan pada 14 hingga 15 September ini di Ipoh, Perak kekal berprestij dan menjadi landasan bagi mencungkil seramai mungkin bakat baru.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmy Jalil berkata, sebanyak 44 pasukan akan berentap di kejohanan itu yang mempertandingkan lima kategori iaitu 'Men Core', 'Men Qualifier', Wanita Terbuka serta Lelaki dan Wanita Bawah 20 tahun (B-20).

"Tiada pemain kebangsaan dibenarkan bertanding pada kejohanan kali ini sekali gus membuka peluang pihaknya mencungkil lebih ramai bakat baru.

"Kejohanan ini diadakan setiap tahun sebagai landasan bagi pemilihan pemain berbakat menyarung jersi negara serta pemilihan pengadil berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa depan," katanya pada sidang media pengumuman kejohanan itu di Wisma OCM, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua KRP, Mahader Ahmad Mohammad Ayob dan Pengarah Pemasaran dan Publisiti KRM, Mohd Zaki Shahran.

Fahmy yang juga Pengarah Pertandingan KRM berkata, kategori B-20 dipertandingkan kali ini bagi memberi peluang pasukan negeri membuat persiapan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor.

Katanya, kejohanan anjuran bersama kerajaan negeri Perak dan Kesatuan Ragbi Perak (KRP) itu mendapat tajaan antaranya daripada UEM Group, Bank Islam, ATF Sport, Sporteqa, Try Zone dan Kuckreja.

"Kita turut mengalu-alukan peminat untuk hadir bersama keluarga di padang Ipoh kerana selain perlawanan ragbi kita juga adakan aktiviti sampingan seperti jualan makanan," katanya.

Dalam pada itu, Perak bertekad mempertahankan kejuaraan sulung yang dimenangi pada kejohanan itu tahun lalu.

Mahader Ahmad berkata, walaupun sedar ia bukan tugas mudah, namun Perak nekad memberikan tentangan sengit kepada pasukan lain.

"Selaku penyandang juara, Perak akan berusaha untuk kekalkan kejuaraan dimiliki. Tapi kita harus realistik, pasukan lain juga sedaya-upaya mahu menewaskan kita. Jadi tunggu dan lihat," katanya.

Sebanyak lapan pasukan terbaik tahun lalu bertanding kategori lelaki utama, Men Qualifier (7) dan Wanita Terbuka (9) manakala B-20 disertai 13 pasukan lelaki dan 9 pasukan wanita.

Kejohanan ditaja UEM Group, Bank Islam, ATF Sport, Sporteqa, Try Zone dan Kuckreja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 10:02 PM