Skip this ad x
RORY McIIroy pamer aksi konsisten sepanjang musim. - FOTO Agensi
AFP

RORY McIlroy dinamakan Pemain Terbaik Tahunan PGA dengan meraih Anugerah Jack Nicklaus buat kali ketiga.

Bintang Ireland Utara, McIlroy yang menerima pengiktirafan sama pada 2012 dan 2014 mendapat undian tertinggi daripada kalangan pemain jelajah profesional.

Dia yang berusia 30 tahun mengatasi saingan Brooks Koepka, Matt Kuchar dan Xander Schauffele untuk anugerah itu yang diraih selepas menjuarai Kejohanan Jelajah PGA baru-baru ini.

McIlroy yang menerima anugerah itu daripada legenda golf, Nicklaus awal pagi tadi berkata dia kehilangan kata-kata apabila menerima pengiktirafan itu.

"Tiada yang lebih membanggakan selain pencapaian saya sepanjang tahun ini,” kata McIlroy.

"Saya mahu berusaha mempamerkan aksi terbaik setiap minggu dan saya rasa telah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan.

"Bagaimanapun, kepuasan tertinggi apabila anda diberi penghormatan di atas kejayaan yang dicapai dan untuk anugerah ini saya diundi oleh rakan-rakan seperjuangan. Saya rasa terharu dan berterima kasih kepada mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:38 AM