SUAREZ kembali perkuat serangan Barcelona. - FOTO Agensi
Agensi

LUIS Suarez kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Barcelona sekali gus memberi peluang kepada ketua jurulatih Ernesto Valverde menurunkannya beraksi menentang Valencia awal pagi Ahad ini.

Kehadiran Suarez bermakna Valverde tidak perlu terburu-buru menurunkan Lionel Messi yang baharu sahaja pulih daripada kecederaan.

Tahap kecergasan Suarez juga semakin meningkat sepanjang proses pemulihan susulan kecederaan tumit dialami ketika Barcelona tewas kepada Athletic Bilbao dalam aksi pembukaan musim baharu La Liga.

Selepas terlepas aksi menentang Real Betis yang dimenangi Barca 5-2 dan seri 2-2 dengan Osasuna, pemain antarabangsa Uruguay itu kembali berlatih menjelang kunjungan Valencia ke Camp Nou bagi memperkuatkan jentera serangan.

Sementara itu Messi dijangka tampil kali pertama melayan Valencia selepas pulih kecederaan betis tetapi Valverde enggan menanggung risiko menurunkan pemain berusia 32 tahun itu jika Suarez boleh diturunkan.

Messi yang mengalami ketegangan otot pada hari pertama sesi latihan pramusim memaksa dia berehat sejak itu tetapi jurulatih Barcelona berkata dia berharap Messi dapat kembali beraksi menentang Valencia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:07 AM