ISN pantau perkembangan jerebu kata Faedzal. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


INSTITUT Sukan Negara (ISN) akan menjalankan pemantauan berterusan terutama bagi mengurangkan kesan risiko kepada atlet dan penggiat sukan akibat masalah jerebu yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, pihaknya menggunakan beberapa pendekatan termasuk mengenal pasti atlet yang mendapatkan rawatan berkaitan masalah itu di klinik ISN.

"Selain membekalkan topeng muka bersesuaian kepada atlet jika diperlukan, kami akan memastikan bekalan ubatan berkaitan masalah pernafasan dan kesan jerebu mencukupi.

"Ia turut merangkumi bekalan sumber air minuman mencukupi bagi kegunaan atlet di sekitar lokasi latihan atlet di ISN.

Selain itu, memasang peranti pengesanan jerebu bagi mendapatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) lebih tepat di sekitar Kompleks Sukan Negara," katanya kepada Arena Metro.

Kata Ahmad Faedzal, atlet, jurulatih dan penggiat sukan disaran sentiasa merujuk IPU terkini sebelum merancang dan menjalankan aktiviti latihan terutama membabitkan latihan luaran.

"Bagi bacaan IPU itu pada paras tidak sihat iaitu antara 101-200, kami menasihatkan latihan sukan berat dan berpanjangan di kawasan luar dikurangkan serta cuba digantikan dengan latihan dalam dewan.

"Jika ia berada pada 201-300 (sangat tidak sihat), semua semua latihan sukan berat dan berpanjangan di luar perlu dielak atau dihentikan manakala semua aktiviti luar seharusnya dikurangkan sekiranya bacaan melebihi 300 iaitu merbahaya," katanya meminta semua pihak itu melayari apims.doe.gov.my untuk maklumat lanjut.

Berdasarkan data dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), keadaan jerebu tidak menunjukkan banyak perubahan apabila 16 lagi kawasan direkodkan tidak sihat setakat ini.

Selain Johan Setia Klang, yang menunjukkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 213, lima lagi stesen Selangor terjejas ialah Kuala Selangor (140), Petaling Jaya (126), Shah Alam (133), Klang (136) dan Banting (124).

Di Kuala Lumpur, dua kawasan tidak sihat adalah Batu Muda dan Cheras dengan bacaan IPU masing-masing 144 dan 127, manakala Putrajaya (128).

Turut terjejas, Nilai dengan rekod bacaan IPU 127, Tangkak (110), Jerantut (115), Sri Aman (160), Tasek Ipoh (103), Seri Manjung (140), Balik Pulau (128) dan Minden (103).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 3:05 PM