Messi (kanan) harap Neymar kembali ke Barcelona. FOTO AFP/REUTERS
Agensi

LIONEL Messi mengakui dia pasti akan gembira andainya Neymar kembali menyertai Barcelona pada musim panas ini dari Paris Saint-Germain (PSG).

Dia bagaimanapun mempersoalkan cara sukar kelab itu untuk mendapatkan tandatangannya semula.

Pemain antarabangsa Brazil itu mencari jalan untuk meninggalkan the Parc des Princes selepas bergelut mendapatkan semula prestasi terbaiknya sejak membuat perpindahan rekod dunia £198 juta (RM1 bilion) pada 2017 meninggalkan Nou Camp.

PSG pula enggan melepaskan pemain terbabit kepada Barcelona dan urusan pemindahan Neymar terpaksa ditangguhkan untuk seketika.

Dalam temu ramah eksklusif bersama akhbar Sepanyol, Sport, ketika ditanya sama ada dia mahu melihat pemain Brazil itu kembali, Messi membalas: “Secara jujurnya, ya. Saya suka sekiranya mendapat Neymar kembali.

“Memikirkan mengenai tahap kesukanan, saya secara peribadi merasakan Neymar salah seorang pemain terbaik dunia dan mendapatnya semula dalam skuad kami akan meningkatkan peluang mencapai matlamat kami.”

Messi dan Neymar membentuk gandingan mantap ketika beraksi bersama di Nou Camp dengan memenangi dua gelaran La Liga, Liga Juara-Juara (UCL) dan tiga Piala Raja Sepanyol.

Neymar menjaringkan 105 gol dalam 186 penampilan untuk gergasi Sepanyol itu sepanjang empat tahun berada di kelab itu.

Messi, pemenang lima kali Ballon d'Or mengakui pemain berusia 27 tahun itu menunggu masa untuk kembali ke Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:26 PM