ZAINAL Abidin Hassan.
Nazri Abu Bakar


JURULATIH Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan mahu anak didiknya menterjemah persembahan cemerlang di Riau ketika berdepan Selangor di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Justeru sesi latihan dan penyertaan Kejohanan Tiga Penjuru di Riau, Indonesia yang berakhir minggu lalu diharap mampu menjadi pemangkin kecemerlangan terbabit.

Menurutnya, juara 33 kali Piala Malaysia terbabit bukan lawan mudah terutama mereka bakal beraksi di gelanggang sendiri.

“Apa yang pasti kemenangan perlu dicari dalam kunjungan berkenaan bagi membuka ruang mara ke suku akhir dalam kumpulan D.

“Walaupun kini skuad Hang Tuah berada di tangga teratas kumpulan namun ia bukan jaminan untuk mata maksimum mampu diperolehi dengan selesa,” katanya.

Berikutan itu beliau berharap sikap tidak alpa, fokus serta konsistensi pemain sepanjang permainan mampu membuahkan hasil memberansangkan.

Apapun, beliau juga masih mengharapkan penjaga gol utama Khairul Fahmi Che Mat (Apek) yang masih cedera mampu beraksi dalam perlawanan terbabit.

Beliau berkata, Khairul Fahmi yang tidak beraksi ketika di Indonesia turut terlepas semua aksi Piala Malaysia setakat ini.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada pegawai perubatan pasukan untuk menentukan kedudukan penjaga gawang kebangsaan itu sebelum mampu diturunkan.

Namun pada masa sama beliau juga berkeyakinan semua pemain akan memberikan yang terbaik tanpa mengira siapa sahaja yang bakal beraksi.

Melaka kini berkongsi 6 mata sama dengan The Red Giants yang menduduki tempat kedua namun dihambat rapat PDRM dan FELDA United dengan masing-masing meraih lima dan empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:59 PM