FATIN Nurfatehah
Azlan Muhammad Zain


PEMANAH compound, Fatin Nurfatehah Mat Salleh menebus kekecewaan terlepas pingat acara individu apabila meraih dua tiket final di siri ketiga Piala Asia di Clark City, Filipina, hari ini.

Pemanah berpengalaman itu mengetuai trio wanita bersama-sama Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Iman Aisyah Norazam mara ke final acara berpasukan menerusi shoot-off selepas terikat 224 mata dengan Filipina di separuh akhir.

Namun tiga panahan shoot-off menyaksikan mereka lebih tenang dengan mengumpul 29 mata berbanding lawan 25 mata sekali gus akan bertemu Taiwan di final pada Sabtu ini.

Fatin Nurfatehah turut cemerlang menerusi acara campuran bersama-sama Mohd Juwaidi Mazuki apabila mara ke final untuk bertemu Filipina.

Gandingan dua pemanah berpengalaman itu menyingkirkan Taiwan di separuh akhir dengan perbezaan dua mata selepas mengumpul 153 mata.

“Ia menebus kekecewaan semalam apabila terkandas di suku akhir dalam acara individu. Prestasi tidak begitu bagus semalam namun hari ini saya memberikan terbaik untuk tempah tiket final.

“Keadaan agak berangin selain hujan yang turut turun sejak pagi hingga petang,” kata pemanah kelahiran Sabah itu.

Turut menempah tiket final adalah acara campuran recurve menerusi Khairul Anuar Mohamad dan Nur Aliya Ghapar yang bakal menentang China selepas menewaskan Taiwan 6-0 di separuh akhir.

Bagaimanapun Khairul Anuar dan Aliya gagal meneruskan rentak cemerlang dalam acara berpasukan lelaki dan wanita apabila tersingkir di separuh akhir serta bakal bersaing bagi penentuan gangsa.

Trio compound lelaki yang dibarisi Juwaidi, Zulfadhli Ruslan dan Syahrizan Jafar turut merebut gangsa apabila disingkirkan Australia menerusi shoot-off di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:19 PM