ERIKSEN (tengah) diraikan rakan sepasukan Son Heung Min (kiri) dan Harry Kane ketika menentang Arsenal. — FOTO premierleague.com
AFP

TOTTENHAM Hotspur melayan kunjungan Crystal Palace malam esok pada perlawanan yang mana Mauricio Pochettino berharap menjadi permulaan kepada tempoh lebih stabil buat naib juara Liga Juara-Juara musim lalu.

Pochettino membeli tiga pemain susulan kekalahan Tottenham pada final Piala Eropah di tangan Liverpool, kali pertama sejak Januari 2018 pengurus itu mampu menambah pemain dalam skuadnya.

Namun jendela perpindahan Eropah, yang hanya tutup dua minggu selepas Liga Perdana Inggeris bermula, mencetus kebimbangan pengendali dari Argentina itu, memandangkan beberapa pemain bintangnya tergugat dengan kaitan perpindahan ke kelab luar negara.

Ketika tiada siapa akhirnya berpindah, Pochettino kini mampu meneruskan kempen dengan memilih pemain seperti Christian Eriksen, Toby Alderweireld, Jan Vertonghen dan Danny Rose, masa depan mereka tidak menentu sepanjang musim panas.


JOELINTON (dua kiri) mencetus kekalahan sulung Spurs musim ini. — FOTO premierleague.com

Ia kerana pemain itu sendiri mengintai peluang berpindah ke tempat lain, dengan pemain tengah Denmark, Eriksen tidak merahsiakan keghairahannya mencari cabaran baharu.

Alderweireld mempunyai klausa dalam kontraknya yang membolehkannya dibeli dengan harga £25 juta (RM128 juta) hingga 14 hari sebelum jendela ditutup tetapi dia juga tidak mendapat kelab baharu.

Jelas Pochettino juga bersedia memulihkan sekelompok pemain yang sering mencabar kejuaraan tanpa akhirnya memenangi sesuatu.

“Perbualan yang menarik hari ini kami mempunyai skuad yang akan meneruskan kempen hingga Januari, bila mana khabar angin akan tercetus semula,” kata Pochettino awal minggu ini.


LUCAS Moura menyelamatkan satu mata di Etihad. — FOTO premierleague.com

“Amat bagus untuk bercakap hari ini hampir sejam dan kembali fokus terhadap objektif kami.

“Untuk melapangkan dada kami, untuk memikirkan apa yang penting adalah secara kolektif dan mula melupakan situasi individu, semua bersatu kembali dan cuba mencipta dinamik serta kuat dan mula memenangi perlawanan. Itulah yang paling penting buat kami ketika ini.”

Setakat ini, Tottenham hanya menang sekali daripada empat perlawanan pertama mereka, keputusan yang turut menyaksikan seri di Manchester City dan Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 10:51 AM