PEMAIN JDT, Muhammad Syafiq Ahmad (kanan) meraikan kemenangan bersama rakan pasukannya selepas menjaring pada perlawanan Piala Malaysia PJ City bertemu JDT di Stadium MBPJ. FOTO/ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


JOHOR Darul Ta’zim(JDT) menempah tiket ke pusingan seterusnya apabila membenam PJ City 3-2 dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.

Gol hasil jaringan pemain skuad Harimau Malaya menerusi Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid sudah cukup meranapkan impian anak buah K Devan untuk mengutip tiga mata dan merampas kedudukan teratas kumpulan B.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-10 menerusi Bae Beom Geun yang bijak menyempurnakan hantaran Elizeu Araujo seterusnya menewaskan Farizal Marlias.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Harimau Selatan mengatur serangan sebelum peroleh gol penyamaan menerusi sepakan percuma yang diambil Safawi pada minit ke-24 sekali gus menewaskan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Bagaikan mendapat tonik, JDT berterusan mengasak kubu lawan dengan Syafiq bijak menyempurnakan hantaran bola lambung daripada Leandro Velazquez pada minit ke-36 untuk pasukan pelawat mendahului perlawanan 2-1.

Separuh masa kedua menyaksikan JDT terus mengatur serangan ke kubu lawan malah hampir menjarakkan kedudukan menerusi Afiq Fazail pada minit ke-50 namun lambungan bolanya tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada PJ City.

Melihat JDT terlalu leka mengatur serangan menyebabkan bahagian pertahanan sedikit longgar sekali gus memberi peluang PJ City menyamakan kedudukan menerusi tandukan Washington Dos Santos hasil hantaran Beom Geun pada minit ke-58.

Namun, kegembiraan PJ City untuk sekurang-kurangnya mengikat juara Liga Super itu tidak kekal lama apabila Syafiq sekali lagi menjadi duri dalam daging dengan menanduk gol ketiga pelawat selang dua minit kemudian untuk kedudukan 3-2.

Kedudukan kekal hingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menyaksikan JDT kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan 13 mata manakala PJ City pula ditempat kedua dengan 9 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 11:16 PM