Syazwan Msar


TAMPUK kepimpinan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertukar tangan apabila Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih menerajui badan pengurusan liga tempatan itu.

Pemilihan Hamidin dibuat selepas pemegang taruh MFL bersetuju meminda perlembagaan dengan jawatan pengerusi ditukar kepada presiden selain calon menyandang kerusi tertinggi adalah dalam kalangan ahli lembaga pengarah serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan itu sekali gus menyaksikan Hamidin dipilih mengambil alih teraju MFL daripada pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai pengerusi sebelum ini.

Menurut Hamidin, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan semua pemegang taruh MFL selain menganggap ia satu tanggungjawab dan amanah yang cukup besar.


HAMIDIN (tengah) ketika sidang media di Petaling Jaya, hari ini. — FOTO Persatuan Bolasepak Malaysia

“Ini satu penghormatan besar diberikan oleh semua pemegang taruh MFL dan pada masa sama satu cabaran berat untuk saya pikul.

“Saya akan berusaha memegang amanah ini dengan baik namun saya mengharapkan sokongan padu semua pihak untuk bergerak sama melaksanakan gagasan yang sudah diasaskan oleh Tunku Ismail.

“Saya sebenarnya berat untuk memikul jawatan ini tapi atas kepercayaan yang diberikan daripada rakan kongsi liga dan demi kestabilan bola sepak negara, saya bersetuju dengan pemilihan ini,” katanya di Petaling Jaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 1:54 PM