Penyerang Sabah Rodoljub Paunovic (depan) cuba melepasi pertahanan Pulau Pinang pada aksi Piala Malaysia di Stadium Likas. FOTO Bernama
Ryan Stanley


SABAH mencatat kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0, pada aksi kumpulan C di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan agak perlahan walaupun skuad Tambadau dilihat lebih banyak menguasai bola.

Skuad kendalian Jelius Ating perlu menunggu sehingga minit ke 53 apabila Maxsius Musa menyudahkan hantaran Alto Linus untuk gol pembukaan tuan rumah.

Sabah berjaya menambah jaringan pada minit ke-82 menerusi gerakan menarik pemain gantian, Aguinaldo Mendes Veiga yang melepasi tiga pertahanan sebelum melorongkan bola untuk disudahkan dengan baik oleh Rodoljub Paunovic bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin meniupkan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 10:46 PM