PUKKI (tengah) menjaringkan gol kemenangan Norwich di Carrow Road, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
PUKKI (tengah) menjaringkan gol kemenangan Norwich di Carrow Road, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

PENDATANG baharu Norwich City mengejutkan Manchester City 3-2 di Carrow Road awal pagi tadi sekali gus mencetus kekalahan pertama juara Liga Perdana Inggeris itu sejak Januari lalu.

Kenny McLean (minit ke-18), Todd Cantwell (m-28) dan Teemu Pukki (m-50) mengambil kesempatan kelonggaran benteng City tanpa Aymeric Laporte yang cedera bagi kejutan mengagumkan itu sekalipun Sergio Aguero (m-45) dan Rodri (m-88) membalas gol buat pelawat.

Kekalahan buat City menyaksikan anak buah Pep Guardiola sudah ketinggalan lima mata di belakang juara Eropah Liverpool – yang mencatat rekod sempurna dalam lima perlawanan pertama mereka – dalam perebutan kejuaraan.

“Kami terlalu gembira, ia hari hebat buat kami, buat seluruh kelab dan penyokong,” kata pengurus Norwich, Daniel Farke, yang terpaksa menamakan dua penjaga gol dalam senarai pemain simpanan kerana krisis kecederaan.

AGUERO menyumbat satu gol City pada babak pertama. — FOTO Reuters
AGUERO menyumbat satu gol City pada babak pertama. — FOTO Reuters

“Saya tidak dapat menggambarkan semangat dan mentaliti pemain saya kerana ia minggu yang amat menyulitkan.

“Kami bekerja dengan pendekatan berbeza kerana kami fikir perlu mengubah sedikit formasi asas bagi perlawanan ini, tapi kerana kecederaan, kami terpaksa mengubah semula kerana saya tidak mahu membuatkan pemain lebih keliru.”

Keputusan City tidak mengukuhkan pertahanan tengah pada musim panas sekalipun bekas kapten Vincent Kompany meninggalkan kelab untuk menjadi pemain-pengurus di Anderlecht mungkin menjejaskan peluang Guardiola mempertahankan kejuaraan dengan Laporte diketepikan kerana kecederaan lutut serius hingga Januari depan.

Pengurus City itu menurunkan hanya dua pertahanan tengah yang cergas John Stones dan Nicolas Otamendi, namun mereka bergelut dan memberikan semula Norwich pendahuluan dua gol pada awal babak kedua selepas Aguero mengurangkan defisit.

MCLEAN (dua kanan) menanduk masuk gol pertama Canaries. — FOTO Reuters
MCLEAN (dua kanan) menanduk masuk gol pertama Canaries. — FOTO Reuters

Keputusan Guardiola merehatkan Kevin de Bruyne turut dipersoalkan ketika pelawat dihukum apabila McLean melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol pembukaan.

Kedudukan menjadi 2-0 sebelum setengah jam apabila Kyle Walker berdepan Pukki dan pemain Finland itu melintangkan kepada Cantwell yang menampan masuk ke pintu gol yang ternganga.

“Kami agak takut dengan kualiti yang mereka miliki, tapi dari awal anda boleh lihat kami mempunyai peluang dan dari situ kami membina keyakinan,” kata Pukki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 7:39 AM